Sunday 7 November 2010

..::Kenyataan Media DMP Pusat sempena pelancaran Briged Muslimat::..

Dewan Muslimat PAS Pusat mengambil langkah proaktif dalam menyediakan satu platform atau saluran kepada wanita muda yang berminat untuk bergiat aktif dalam segala gerakerja dan aktivitinya. Ini sekaligus membuktikan bahawa muslimat memberikan ruang yang sangat luas kepada golongan ini untuk memberikan sumbangan.
Selama ini, Muslimat PAS seringkali diajukan dengan soalan klise, “di manakah golongan wanita muda dalam PAS” walhal mereka sudah begitu lama melibatkan diri masing-masing dalam meneruskan agenda perjuangan parti. Oleh kerana mereka tidak dijenamakan dengan gelaran tertentu, maka masyarakat secara umumnya menganggap bahawa PAS terutamanya muslimat tidak memberikan ruang dan peluang kepada golongan wanita muda ini.

Selain daripada itu, di dalam Muktamar Tahunan Muslimat dua tahun kebelakangan ini, timbul usul daripada muslimat berkenaan pentingnya mewujudkan satu dewan khusus untuk golongan wanita muda. Namun, setelah dibahaskan dengan cermat, muktamar menolaknya dengan alas an bahawa Dewan Muslimat telah lama memberikan laluan dan peluang kepada wanita muda untuk aktif dalam Dewan Muslimat di semua peringkat dalam semua bidang dan aktiviti.

Oleh itu, dengan tertubuhnya “Briged Muslimat”, maka Muslimat PAS membuktikan bahawa sejak dari dulu hingga kini, kami sangat menghargai bahkan mengalu-alukan peranan yang telah dan bakal dimainkan oleh golongan wanita muda di dalam PAS.

Penglibatan dalam "Briged Muslimat" ini melangkaui bangsa dan kaum asalkan mereka berminat untuk bersama-sama membantu PAS dalam sebarang gerakerja yang akan menarik golongan wanita muda untuk menyokong atau terus menjadi ahli PAS.

Pasukan ini akan bergerak secara aktif ke seluruh Negara untuk meningkatkan kefahaman politik golongan wanita muda seterusnya menerangkan kepada mereka pentingnya menyokong PAS dan seterusnya Pakatan Rakyat.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Shah Alam, Selangor
1 Zulkaedah 1431H bersamaan 9 Oktober 2010